Friday 30 March 2012

Supaya kita tidak leka...

بسم الله الرحمن الرحيم

 Alhamdulillah, saya masih diberi peluang untuk menulis di blog ini, setelah sekian lama saya meninggalkannya tanpa dikemaskini. Ketika entri ini ditulis, saya baru selesai menduduki peperiksaan akhir semester di kampus. Hakikatnya, peperiksaan merupakan 'makhluk besar' yang sangat ditakuti oleh rata-rata manusia yang bergelar pelajar- bermula dari yang masih baru duduk di bangku sekolah, hinggalah kepada yang sudah berada di puncak menara gading. Semuanya bertungkus-lumus untuk berjaya dalam setiap peperiksaan yang mereka bakal lalui. 



 Namun, hakikat yang lebih patut difahami sebenarnya, peperiksaan bukanlah segala-galanya untuk setiap yang bergelar pelajar. Ia hanyalah salah satu proses yang mesti dilalui untuk mengetahui prestasi pencapaian seseorang pelajar, tetapi keputusan yang diperolehi daripadanya bukan sebagai simbol tahap keintelektualan atau kecerdikan pelajar itu. Maka mereka yang berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan tidak boleh dianggap pandai secara hakikatnya, dan begitu juga mereka yang mendapat keputusan yang kurang memuaskan- tidak boleh dianggap atau dilabel sebagai bodoh, kerana peperiksaan yang dilalui itu kebanyakannya hanya ujian bersifat teori yang dijawab di atas kertas, tetapi masih belum terbukti secara amali atau praktikalnya.

 Apa yang menjadi masalah bagi kebanyakan pelajar hari ini ialah; menyangka bahawa peperiksaan di sekolah atau kampus mereka adalah penentu masa depan, lantas sanggup berhabis-habisan mengulang kaji pelajaran demi peperiksaan yang akan ditempuh itu. Malangnya, fenomena sebegini amat sukar dilihat di luar musim peperiksaan. Pelajaran diulang kaji untuk menjawab soalan-soalan peperiksaan, lalu segala yang diulang kaji itu akan hilang dari ingatan sebaik sahaja peperiksaan berakhir. Lebih menyedihkan, ada pula yang memperlekehkan rakan-rakan yang menelaah pelajaran di luar musim peperiksaan, seolah-olah tiada faedah untuk berbuat sedemikian.



 Oleh sebab itu, tidak hairanlah jika kita melihat bilangan pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan semakin bertambah saban tahun, namun masalah sosial yang melibatkan pelajar juga tidak semakin berkurang, malah semakin bertambah sehingga ia menjadi suatu kebiasaan bagi masyarakat hari ini. Maka, adakah ini bukti kejayaan sistem pendidikan yang diamalkan hari ini?

KONTANG ILMU

 Budaya menuntut ilmu 'bermusim' ini amat mendatangkan impak negatif kepada perkembangan minda masyarakat secara umumnya, dan generasi muda khususnya. Islam sebagai agama yang sangat mementingkan perihal ilmu pengetahuan telah menekankan aspek pencarian ilmu dari awal pengutusan Rasul itu sendiri, malah perintah untuk membaca merupakan ayat pertama yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w., mendahului perintah-perintah dan seruan agama yang lain. Namun, apa yang berlaku hari ini menggambarkan situasi yang sebaliknya. Umat Islam dilihat jauh terkebelakang berbanding umat-umat lain dalam aspek penguasaan ilmu pengetahuan. Sedangkan, umat Islam telah dijanjikan dengan keistimewaan yang tinggi sekiranya mereka mempunyai ilmu. Firman Allah s.w.t:

58:11

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, apabila dikatakan kepada kamu, "berilah kelapangan di dalam majlis-majlis", maka lapangkanlah, nescaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan , "berdirilah kamu" maka berdirilah, nescaya Allah akan mengangkat darjat orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu beberapa darjat. Dan Allah Maha Teliti tentang apa yang kamu kerjakan."
(Surah  al-Mujadilah: 11)


 Apa yang lebih menghairankan, sejarah lampau menunjukkan bahawa generasi awal umat Islam yang bermula dengan zaman kerasulan itu merupakan umat manusia yang hebat dari sudut penguasaan ilmu sehingga mereka mampu mengatasi tamadun yang besar ketika itu seperti Parsi dan Rom. Ini bermakna, generasi awal umat Islam begitu mendalami dan menghayati maksud yang tersirat di sebalik perintah membaca yang diturunkan kepada baginda nabi itu, lalu menjadikan ia satu dorongan untuk mereka menguasai pelbagai bidang ilmu pengetahuan. Tetapi hari ini, umat Islam yang digesa untuk mencontohi Barat dalam aspek penguasaan ilmu, kerana memang telah nyata bahawa umat Islam telah 'kehilangan' ilmu yang pernah dikuasai dan dimiliki suatu masa dahulu.

 Fenomena ini menjadi lebih parah apabila umat Islam tidak didedahkan dengan keluasan ilmu itu sendiri. Ilmu yang berkaitan agama itu juga menjadi sempit apabila umat Islam hanya diajar dan didedahkan dengan cabang-cabang atau pandangan-pandangan tertentu sahaja, lalu menyebabkan berlakunya sikap saling menyalahkan apabila bertemu dengan sebarang pertembungan pendapat. Akhirnya, lahirlah golongan agama yang sentiasa berbalah sehingga berkembangnya amalan tabdi' (membid'ahkan), takfir (mengkafirkan), dan tadhlil (menyesatkan). Anehnya, program-program hiburan yang melalaikan semua peringkat umur-bermula dari kanak-kanak hingga ke warga tua- semakin bertambah dan rancak mengisi rancangan televisyen dan akhbar-akhbar. Maka dapatlah kita lihat sebahagian ibu bapa yang menangis dan terkilan apabila anak mereka tidah terpilih untuk menjadi 'Bintang Kecil' yang bakal menyinari rumah mereka nanti. Timbul persoalan di benak fikiran saya- apakah bentuk generasi masa depan yang akan memimpin umat nanti sekiranya begini cara didikan ibu bapa hari ini?

DIDIKAN AWAL


 Sepatutnya, setiap ibu bapa perlu memainkan peranan yang sangat penting sebagai pendidik awal dan utama bagi anak-anak. Tuhan perlu diperkenalkan dahulu kepada anak-anak, bukannya hantu. Jika hantu yang dimomokkan terlebih dahulu, maka di situlah bermulanya proses pembantutan ilmu anak-anak, kerana mereka akan mula takut kepada sesuatu yang tidak diketahui sebabnya, rupanya, dan tidak dibenarkan bertanya lebih dari yang disebut oleh orang tua. Malanglah kita sekiranya anak-anak membesar dalam ketakutan dan kejahilan.

 Proses menuntut ilmu ini seharusnya bermula sejak anak-anak dilahirkan lagi, sehinggalah tiba ajal kematian. Inilah yang disebut sebagai lifelong learning- yang diamalkan golongan ilmuwan sejak dahulu lagi. Mereka tidak menetapkan musim-musim tertentu untuk mencari ilmu, bahkan menghabiskan hidup mereka sepenuhnya untuk menuntut ilmu. Jika kita hayati makna di sebalik perkataan menuntut itu, ia sebenarnya membawa maksud meminta dengan mendesak supaya sesuatu dilakukan atau ditunaikan. Maka dalam konteks menuntut ilmu, prosesnya mestilah berterusan dan dilakukan dengan penuh kesungguhan sehingga ilmu yang dikehendaki itu diperolehi oleh si penuntut. Oleh sebab itu, jika kita bertanya kepada mereka yang kita pandang sudah mempunyai ilmu yang banyak, tentu mereka akan segera merendah diri dengan berkata bahawa ilmu mereka masih sedikit dan masih banyak yang belum dipelajarinya. Inilah ciri-ciri orang yang mencintai ilmu- tidak pernah merasa cukup dengan ilmu yang dimilikinya walau setinggi mana pengiktirafan yang telah dianugerahkan kepadanya.

CHECK  & BALANCE


 Seharusnya kita sedar dan tidak leka, bahawa hidup ini sememangnya dipenuhi dengan ujian. Bukan hanya peperiksaan di sekolah atau universiti yang kita perlu persiapkan diri untuknya, tetapi selagi jasad menikmati segala nikmat Tuhan, maka selagi itulah kita perlu sentiasa persiapkan diri dengan segala bekalan untuk menempuh pelbagai ujian dengan jayanya. Sejarah telah mengajar kita, betapa tokoh-tokoh terkenal dan berpengaruh juga telah sentiasa menghadapi pelbagai ujian yang berat sepanjang hidup mereka. Malah, Allah      s.w.t telah menyebut di dalam al-Quran:

29:2

Maksudnya: "Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, "kami telah beriman", dan mereka tidak diuji?"
(Surah al-'Ankabut: 2)


Tenangkah kita, apabila selesai menduduki peperiksaan di sekolah atau universiti? Puaskah hati kita apabila mendapat keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan yag kita lalui itu? Sudah diamalkankah segala ilmu yang kita keluarkan semasa peperiksaan itu? Marilah sama-sama kita betulkan kembali niat kita dalam menuntut ilmu, supaya ilmu itu tidak lenyap bersama berlalunya tarikh peperiksaan, tetapi kekal sebagai teman setia yang menemani sepanjang kehidupan kita di dunia dan akhirat...






...والله أعلم







1 comment:

  1. salam.

    alhamdulillah for a new entry. looking forward for this blog to be always updated.

    together we reach people's hearts. Allahu Musta'an.

    ReplyDelete