Friday 30 March 2012

Supaya kita tidak leka...

بسم الله الرحمن الرحيم

 Alhamdulillah, saya masih diberi peluang untuk menulis di blog ini, setelah sekian lama saya meninggalkannya tanpa dikemaskini. Ketika entri ini ditulis, saya baru selesai menduduki peperiksaan akhir semester di kampus. Hakikatnya, peperiksaan merupakan 'makhluk besar' yang sangat ditakuti oleh rata-rata manusia yang bergelar pelajar- bermula dari yang masih baru duduk di bangku sekolah, hinggalah kepada yang sudah berada di puncak menara gading. Semuanya bertungkus-lumus untuk berjaya dalam setiap peperiksaan yang mereka bakal lalui. 



 Namun, hakikat yang lebih patut difahami sebenarnya, peperiksaan bukanlah segala-galanya untuk setiap yang bergelar pelajar. Ia hanyalah salah satu proses yang mesti dilalui untuk mengetahui prestasi pencapaian seseorang pelajar, tetapi keputusan yang diperolehi daripadanya bukan sebagai simbol tahap keintelektualan atau kecerdikan pelajar itu. Maka mereka yang berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan tidak boleh dianggap pandai secara hakikatnya, dan begitu juga mereka yang mendapat keputusan yang kurang memuaskan- tidak boleh dianggap atau dilabel sebagai bodoh, kerana peperiksaan yang dilalui itu kebanyakannya hanya ujian bersifat teori yang dijawab di atas kertas, tetapi masih belum terbukti secara amali atau praktikalnya.

 Apa yang menjadi masalah bagi kebanyakan pelajar hari ini ialah; menyangka bahawa peperiksaan di sekolah atau kampus mereka adalah penentu masa depan, lantas sanggup berhabis-habisan mengulang kaji pelajaran demi peperiksaan yang akan ditempuh itu. Malangnya, fenomena sebegini amat sukar dilihat di luar musim peperiksaan. Pelajaran diulang kaji untuk menjawab soalan-soalan peperiksaan, lalu segala yang diulang kaji itu akan hilang dari ingatan sebaik sahaja peperiksaan berakhir. Lebih menyedihkan, ada pula yang memperlekehkan rakan-rakan yang menelaah pelajaran di luar musim peperiksaan, seolah-olah tiada faedah untuk berbuat sedemikian.



 Oleh sebab itu, tidak hairanlah jika kita melihat bilangan pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan semakin bertambah saban tahun, namun masalah sosial yang melibatkan pelajar juga tidak semakin berkurang, malah semakin bertambah sehingga ia menjadi suatu kebiasaan bagi masyarakat hari ini. Maka, adakah ini bukti kejayaan sistem pendidikan yang diamalkan hari ini?

KONTANG ILMU

 Budaya menuntut ilmu 'bermusim' ini amat mendatangkan impak negatif kepada perkembangan minda masyarakat secara umumnya, dan generasi muda khususnya. Islam sebagai agama yang sangat mementingkan perihal ilmu pengetahuan telah menekankan aspek pencarian ilmu dari awal pengutusan Rasul itu sendiri, malah perintah untuk membaca merupakan ayat pertama yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w., mendahului perintah-perintah dan seruan agama yang lain. Namun, apa yang berlaku hari ini menggambarkan situasi yang sebaliknya. Umat Islam dilihat jauh terkebelakang berbanding umat-umat lain dalam aspek penguasaan ilmu pengetahuan. Sedangkan, umat Islam telah dijanjikan dengan keistimewaan yang tinggi sekiranya mereka mempunyai ilmu. Firman Allah s.w.t:

58:11

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, apabila dikatakan kepada kamu, "berilah kelapangan di dalam majlis-majlis", maka lapangkanlah, nescaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan , "berdirilah kamu" maka berdirilah, nescaya Allah akan mengangkat darjat orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu beberapa darjat. Dan Allah Maha Teliti tentang apa yang kamu kerjakan."
(Surah  al-Mujadilah: 11)


 Apa yang lebih menghairankan, sejarah lampau menunjukkan bahawa generasi awal umat Islam yang bermula dengan zaman kerasulan itu merupakan umat manusia yang hebat dari sudut penguasaan ilmu sehingga mereka mampu mengatasi tamadun yang besar ketika itu seperti Parsi dan Rom. Ini bermakna, generasi awal umat Islam begitu mendalami dan menghayati maksud yang tersirat di sebalik perintah membaca yang diturunkan kepada baginda nabi itu, lalu menjadikan ia satu dorongan untuk mereka menguasai pelbagai bidang ilmu pengetahuan. Tetapi hari ini, umat Islam yang digesa untuk mencontohi Barat dalam aspek penguasaan ilmu, kerana memang telah nyata bahawa umat Islam telah 'kehilangan' ilmu yang pernah dikuasai dan dimiliki suatu masa dahulu.

 Fenomena ini menjadi lebih parah apabila umat Islam tidak didedahkan dengan keluasan ilmu itu sendiri. Ilmu yang berkaitan agama itu juga menjadi sempit apabila umat Islam hanya diajar dan didedahkan dengan cabang-cabang atau pandangan-pandangan tertentu sahaja, lalu menyebabkan berlakunya sikap saling menyalahkan apabila bertemu dengan sebarang pertembungan pendapat. Akhirnya, lahirlah golongan agama yang sentiasa berbalah sehingga berkembangnya amalan tabdi' (membid'ahkan), takfir (mengkafirkan), dan tadhlil (menyesatkan). Anehnya, program-program hiburan yang melalaikan semua peringkat umur-bermula dari kanak-kanak hingga ke warga tua- semakin bertambah dan rancak mengisi rancangan televisyen dan akhbar-akhbar. Maka dapatlah kita lihat sebahagian ibu bapa yang menangis dan terkilan apabila anak mereka tidah terpilih untuk menjadi 'Bintang Kecil' yang bakal menyinari rumah mereka nanti. Timbul persoalan di benak fikiran saya- apakah bentuk generasi masa depan yang akan memimpin umat nanti sekiranya begini cara didikan ibu bapa hari ini?

DIDIKAN AWAL


 Sepatutnya, setiap ibu bapa perlu memainkan peranan yang sangat penting sebagai pendidik awal dan utama bagi anak-anak. Tuhan perlu diperkenalkan dahulu kepada anak-anak, bukannya hantu. Jika hantu yang dimomokkan terlebih dahulu, maka di situlah bermulanya proses pembantutan ilmu anak-anak, kerana mereka akan mula takut kepada sesuatu yang tidak diketahui sebabnya, rupanya, dan tidak dibenarkan bertanya lebih dari yang disebut oleh orang tua. Malanglah kita sekiranya anak-anak membesar dalam ketakutan dan kejahilan.

 Proses menuntut ilmu ini seharusnya bermula sejak anak-anak dilahirkan lagi, sehinggalah tiba ajal kematian. Inilah yang disebut sebagai lifelong learning- yang diamalkan golongan ilmuwan sejak dahulu lagi. Mereka tidak menetapkan musim-musim tertentu untuk mencari ilmu, bahkan menghabiskan hidup mereka sepenuhnya untuk menuntut ilmu. Jika kita hayati makna di sebalik perkataan menuntut itu, ia sebenarnya membawa maksud meminta dengan mendesak supaya sesuatu dilakukan atau ditunaikan. Maka dalam konteks menuntut ilmu, prosesnya mestilah berterusan dan dilakukan dengan penuh kesungguhan sehingga ilmu yang dikehendaki itu diperolehi oleh si penuntut. Oleh sebab itu, jika kita bertanya kepada mereka yang kita pandang sudah mempunyai ilmu yang banyak, tentu mereka akan segera merendah diri dengan berkata bahawa ilmu mereka masih sedikit dan masih banyak yang belum dipelajarinya. Inilah ciri-ciri orang yang mencintai ilmu- tidak pernah merasa cukup dengan ilmu yang dimilikinya walau setinggi mana pengiktirafan yang telah dianugerahkan kepadanya.

CHECK  & BALANCE


 Seharusnya kita sedar dan tidak leka, bahawa hidup ini sememangnya dipenuhi dengan ujian. Bukan hanya peperiksaan di sekolah atau universiti yang kita perlu persiapkan diri untuknya, tetapi selagi jasad menikmati segala nikmat Tuhan, maka selagi itulah kita perlu sentiasa persiapkan diri dengan segala bekalan untuk menempuh pelbagai ujian dengan jayanya. Sejarah telah mengajar kita, betapa tokoh-tokoh terkenal dan berpengaruh juga telah sentiasa menghadapi pelbagai ujian yang berat sepanjang hidup mereka. Malah, Allah      s.w.t telah menyebut di dalam al-Quran:

29:2

Maksudnya: "Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, "kami telah beriman", dan mereka tidak diuji?"
(Surah al-'Ankabut: 2)


Tenangkah kita, apabila selesai menduduki peperiksaan di sekolah atau universiti? Puaskah hati kita apabila mendapat keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan yag kita lalui itu? Sudah diamalkankah segala ilmu yang kita keluarkan semasa peperiksaan itu? Marilah sama-sama kita betulkan kembali niat kita dalam menuntut ilmu, supaya ilmu itu tidak lenyap bersama berlalunya tarikh peperiksaan, tetapi kekal sebagai teman setia yang menemani sepanjang kehidupan kita di dunia dan akhirat...






...والله أعلم







Monday 17 October 2011

FEMINISM & ISLAM: ALIEN ATAU ELEMEN?

بسم الله الرحمن الرحيم



Alhamdulillah, baru-baru ini saya berpeluang menghadiri satu seminar yang bertajuk 'The Future of Islamic Feminism' yang diadakan di International Institute of Islamic Thought & Civilisation (ISTAC), Kuala Lumpur. Seminar yang berbentuk forum ini menampilkan Dr. Ahmad Farouk Musa sebagai moderator, Dr. Muhammad Uthman el-Muhammady, Dr. Farish A. Noor, dan Zainah Anwar sebagai barisan panelis yang mewakili 'school of thought' masing-masing. Seperti biasa, program diskusi sebegini memang mendapat sambutan daripada pelbagai pihak, khususnya mereka yang mendokong faham liberalism di Malaysia. Jadi tidak hairanlah jika ramai di kalangan peserta wanita dan ahli panelnya juga dengan selamba tidak memakai pakaian yang menutup aurat walaupun secara jelasnya mereka beragama Islam!







Secara keseluruhannya, seminar ini membincangkan tentang ideologi feminism dalam Islam. Sebagai pembuka bicara, moderator menerangkan serba ringkas takrif feminism dan mengaitkannya sebagai satu perkara yang tidak asing dalam Islam, kerana fahaman ini telah diperjuangkan oleh Syeikh Muhammad Abduh sekitar akhir abad ke 19 hingga awal abad ke 20, iaitu pada era kebangkitan pan-Islamisme di Asia Tengah. Zainah Anwar, selaku panel pertama pula meneruskan lagi tafsiran feminism yang diperjuangkan oleh gerakan liberalisme di Malaysia khususnya Sisters in Islam (SIS) yang diasaskan oleh beliau sendiri. Dengan penuh rasa bangga dan tanpa sedikit pun rasa bersalah atau segan silu, beliau mempersoalkan satu demi satu undang-undang syariah Islam yang baginya tidak mencerminkan keadilan Islam atau lebih tepat lagi keadilan Allah yang diyakininya. Seperti yang kita sedia maklum, topik yang menjadi perbahasan utama SIS ialah persamaan hak antara lelaki dan wanita, dan antara isu yang sering dipertikaikan mereka adalah berkaitan hukum faraid (pewarisan harta pusaka), hak wanita dalam rumahtangga dan perceraian, serta kebebasan wanita dalam aspek aurat.




PENILAIAN


Saya sempat mengajukan 1 soalan yang mungkin agak attacking, dengan membawakan kepada audien sepotong ayat al- Quran yang berbunyi: 


33:36

Maksudnya: "Dan tidaklah patut bagi lelaki yang beriman dan perempuan yang beriman, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada pilihan (yang lain) bagi mereka tentang urusan mereka. Dan barangsiapa menderhakai Allah dan Rasul-Nya, maka sungguh, dia telah tersesat dengan kesesatan yang nyata.
(Surah al-Ahzab: 36)

Jadi, siapa kita dan siapa Sisters in Islam ini (khususnya) untuk mengubah suai ketetapan yang telah Allah dan Rasul-Nya tetapkan dalam isu-isu yang dibangkitkan oleh gerakan feminism ini?

Tentu sahaja mereka terkedu dengan soalan ini, kerana mereka juga berasa masih terpanggil sebagai orang-orang beriman-lelaki dan perempuan-yang disebutkan di dalam ayat ke 36 dari Surah al-Ahzab itu. Tetapi, walau bagaimanapun ancaman yang ditujukan kepada mereka, dengan begitu yakin dan berani, mereka berkata bahawa undang-undang syariah itu bukan divine, atau bukan ditetapkan sendiri oleh Allah, sebaliknya ia adalah undang-undang yang digubal sendiri oleh manusia dan bertujuan untuk menindas kaum wanita. Golongan ini secara jelas telah mempertikaikan hukum yang terkandung di dalam syariah Islam dan mendesak supaya nas-nas al-Quran yang membicarakan soal undang-undang Islam ditafsir semula mengikut keperluan zaman moden hari ini. 


ISLAM AGAMA RAHMAT


Islam bukan agama ciptaan manusia. Undang-undang yang terkandung di dalamnya juga bukan hasil rekaan akal manusia yang terlalu terbatas. Agama Islam dan syariatnya diturunkan oleh Allah, Tuhan yang menciptakan segala-galanya. Umat Islam khususnya, disediakan dengan al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w, sebagai panduan sepanjang menjalani kehidupan di dunia. Manusia selamat selagi mana mengikuti panduan yang telah disediakan ini. Dan akan sesat apabila tidak menjadikan kedua-duanya sebagai panduan dalam kehidupan. Ini adalah janji baginda Nabi s.a.w di dalam hadithnya:
 "تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما تمسكتم بهما : كتاب الله وسنة نبيه صلى الله عليه وسلم"
Maksudnya: "Aku tinggalkan kepada kamu 2 perkara, kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi mana kamu berpegang teguh dengan kedua-duanya; kitab Allah (al-Quran) dan sunnah Nabi-Nya"
Maka, apabila umat Islam ingin 'melarikan diri' dari panduan al-Quran dan al-Sunnah, mereka pasti akan menemui kesesatan dan kehancuran. Inilah kesudahan buruk yang kita takuti akan menimpa golongan liberal yang sentiasa mempertikaikan hukum Allah ini. 

Allah yang mencipta semua manusia, tidak kira Muslim atau bukan Muslim. Sudah tentu Pencipta yang paling mengetahui segala-galanya tentang ciptaannya. Adalah sesuatu yang amat mustahil jika Pencipta tidak mengetahui apa yang baik dan apa yang buruk bagi makhluk yang diciptanya. Analoginya mudah. Kereta Mercedes umpamanya, akan bermasalah jika diservis atau dibaiki di pusat servis Proton, kerana pusat servis Proton tidak menyediakan keperluan yang sepatutnya diperolehi oleh kereta Mercedes tersebut.


Begitu juga halnya dengan manusia. Jika masalah yang dihadapi tidak diselesaikan dengan menggunakan panduan yang telah disediakan oleh al-Quran dan al-Sunnah, sebaliknya hanya menggunakan idea manusia yang sangat terbatas, pasti usaha tersebut hanya menemui jalan buntu dan masalah yang dihadapi menjadi semakin kronik. Lihat saja pelbagai gejala sosial dan kes jenayah yang berlaku di dalam negara ini. Zina, buang anak, rogol, membunuh, merompak, dan bermacam jenis lagi kes jenayah yang berlegar dalam masyarakat hari ini, seolah-olah tiada harapan untuk dihentikan. 


Apa kaitannya dengan feminism atau Sisters in Islam ini? Mudah sahaja. Mereka merasakan bahawa undang-undang Islam tidak adil, tidak memenuhi hak kesamarataan, dan menindas golongan wanita. Bagi saya, sebenarnya merekalah yang tidak adil dalam membuat penilaian terhadap undang-undang Islam. Mengapa saya kata begitu? Kerana mereka tidak mempelajari dan memahami Islam dari sumber yang sahih dan berautoriti, sebaliknya hanya membaca dan mendengar ideologi serta pemikiran golongan orientalis yang sentiasa mencetuskan sikap kritis terhadap Islam dalam kalangan penganut Islam sendiri. Inilah punca kepada segala pertikaian mereka sebenarnya. Sikap skeptik mereka terhadap segelintir umat Islam yang tidak mengamalkan ajaran Islam yang sebenar, menjadikan mereka memandang keseluruhan syariat Islam sebagai tidak praktikal dan tidak sesuai dengan peredaran zaman.


Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya al-Halal wa al-Haram fi al-Islam telah menjelaskan pandangan beliau terhadap golongan sebegini, dengan kata-katanya:


"Saya dapati ramai penyelidik dan pengkaji Islam moden seolah-olahnya terbahagi kepada dua golongan. Golongan pertama menyembah arus kemodenan Barat dan melutut di hadapannya. Mereka ini mengambil prinsip-prinsip Barat dan budayanya sebagai satu perkara yang diterima pakai tanpa usul periksa. Apabila mereka dapati Islam sependapat dengan mereka, mereka bersorak keriangan, dan apabila Islam menentang pendapat mereka, mereka berusaha mencari penyelesaian dan titik persamaan, ataupun takwil dan pemesongan makna, seolah-olah Islam sepatutnya tunduk kepada kemodenan Barat serta falsafah dan budayanya. Itulah yang saya dapati dari perbincangan mereka tentang perkara-perkara yang diharamkan oleh Islam seperti judi, faedah bank, berdua-duaan dengan bukan mahram, pemberontakan wanita terhadap hak-hak mereka, lelaki memakai barang perhiasan emas dan sutera, dan banyak lagi (selain dari itu)"
Tentang perjuangan feminism ini, beliau menjelaskan lagi dengan kata-katanya:
"Daripada apa yang mereka ceritakan tentang perkara-perkara yang dibolehkan (dihalalkan) Islam seperti talak dan poligami, seolah-olahnya apa yang halal dari perspektif mereka adalah apa yang dihalalkan oleh Barat, dan apa yang diharamkan oleh Barat adalah perkara yang haram pada perspektif mereka. Mereka lupa bahawasanya Islam adalah perkataan Allah dan kalimah Allah adalah yang mulia selama-lamanya, Islam itu diikuti bukannya mengikuti, tinggi dan tiada apa yang lebih tinggi darinya. Adakah patut Pencipta mengikut apa yang diciptakan-Nya? Firman Allah s.w.t :
23:71
Maksudnya: "Dan kalaulah kebenaran itu tunduk menurut hawa nafsu mereka, nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta segala yang ada di dalamnya. Bahkan Kami telah memberi peringatan kepada mereka, tetapi mereka berpaling dari peringatan itu"
(Surah al-Mukminun: 71)




ISLAM MENGANJURKAN KESEDERHANAAN

Dalam semua aspek, Islam menekankan umatnya supaya memilih manhaj pertengahan dan kesederhanaan. Ini kerana manhaj pertengahan dan kesederhanaan merupakan jalan yang terbaik antara dua jalan; yang melebih-lebihkan, dan terlalu mengurangkan hingga membawa kepada pengabaian terhadap sesuatu perkara. Allah telah menjelaskan di dalam al-Quran:


Maksudnya: "Dan demikian pula Kami telah jadikan kamu (umat Islam) 'umat pertengahan' agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu..."
(Surah al-Baqarah: 143) 

Di dalam kitabnya, al-Wasatiyyah al-Islamiyah, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi  telah memuatkan satu bab tentang berlaku adil dengan wanita dan memuliakannya. Jelasnya:
"Ini bertepatan dengan apa yang diseru oleh Islam untuk memberikan wanita hak-haknya, tempatnya dan kemuliannya; sebagai seorang insan, wanita, anak perempuan, isteri, ibu, ahli masyarakat, dan membebaskannya dari belenggu zaman-zaman kemunduran Islam yang mengharamkan wanita dari kebanyakan haknya, hingga mereka tidak dibenarkan bersolat di masjid dan tidak dibenarkan untuk memilih suami, dan juga (membebaskan wanita) daripada keruntuhan serangan arus kemodenan Barat yang mengeluarkan wanita dari fitrahnya, tanpa mengambil kira nilai-nilai kewanitaannya- yang menjadikan wanita muslimah menuruti langkah wanita Barat inci demi inci, hasta demi hasta. Sedangkan para pengkritik dan para reformis mengeluh atas kesan negatif tamadun Barat ini ke atas fitrah manusia dan juga ke atas wanita dan lelaki keseluruhannya."

Di samping itu, Islam tidak pula menyekat dan mengongkong kehidupan wanita muslimah sehingga menjadikan mereka terkebelakang dalam urusan duniawi. Berkenaan hal ini, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menambah lagi:
"Kita juga menentang pemikiran melampau yang ingin mengekang wanita dan mengharamkannya dari memperolehi pendidikan dan pekerjaan, menyertai kehidupan sosial dan politik, sedangkan Allah telah berfirman:

Maksudnya: "Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan,setengahnya menjadi penolong bagi setengah yang lain"
(Surah al-Taubah: 71)

Tetapi ini tidak bermakna Islam membuka seluas-luasnya kebebasan untuk wanita sehingga tidak ada perbezaan dengan kaum lelaki. Al-Qaradhawi menambah lagi:
"Kita juga tidak sependapat dengan mereka yang ingin meleburkan jurang perbezaan antara lelaki dan wanita yang sekaligus bertentangan dengan fitrah wanita dan fitrah semulajadi alam semesta yang berdiri atas konsep berpasang-pasangan; sepertimana firman Allah s.w.t:
 51:49

Maksudnya: "Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasangan, supaya kamu mengingati (kekuasaan Allah dan mentauhidkan Allah)"
(Surah al-Dzariyaat: 49)

Bukannya atas kaedah 'sejenis' yang diwar-warkan oleh Barat pada hari ini. Sesungguhnya kehidupan akan berterusan dengan hubungan satu jantina dengan lawan jenisnya dan bukannya dengan jantina sejenis."


KESIMPULAN


Begitulah panduan yang disediakan oleh Islam dalam meraikan fitrah insan yang berbeza jantina di muka bumi ini. Sesungguhnya semua syariat dan hukum yang terkandung di dalam agama yang suci ini adalah yang paling adil dan relevan untuk seluruh umat manusia, kerana ia diturunkan oleh Allah Yang Maha Adil. Islam adalah satu cara hidup yang paling adil- adil dalam erti kata memberikan hak kepada yang berhak memperolehinya. Islam tidak perlu dimasuki oleh unsur-unsur  luar seperti feminism atau yang seumpama dengannya, yang kononnya ingin memperjuangkan persamaan hak antara lelaki dan wanita, kerana Islam sudah menyediakan segala panduan untuk seluruh umat manusia dengan selengkap-lengkapnya. Hanya hamba yang benar-benar takut kepada Tuhannya yang bersedia mematuhi segala hukum yang telah ditetapkan tanpa sebarang alasan yang berlandaskan hawa nafsu dan keinginan duniawi semata-mata.


Apa yang kita perlu yakini ialah; al-Quran bukanlah kitab rekaan manusia, yang membolehkan hukum-hukum yang terkandung di dalamnya dipertikai dan diubahsuai sewenang-wenangnya oleh akal manusia yang sangat terbatas. Bahkan ia adalah kitab suci yang mengandungi kalamullah yang maha suci dari sebarang penyelewengan dan pendustaan, serta membenarkan kandungan kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya. Allah menegaskan melalui firman-Nya:


10:37

Maksudnya: " Dan tidak mungkin al-Quran ini dibuat-buat oleh selain Allah; tetapi (al-Quran) membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan hukum-hukum yang telah ditetapkannya, tidak ada keraguan di dalamnya, (diturunkan) dari tuhan seluruh alam."
(Surah Yunus: 37)

  
Jika ada di antara hukum-hukum yang telah ditetapkan secara jelas oleh Allah dan Rasul-Nya itu dirasakan tidak sesuai bagi manusia, maka manusia itulah sebenarnya yang bermasalah untuk mengikutinya kerana mereka tidak mahu untuk memahami hikmah di sebalik setiap aturan yang telah ditetapkan oleh Yang Maha Mengetahui, dan lebih teruk lagi kerana mereka tidak mahu mengakui sifat kehambaan kepada Tuhan yang telah mencipta mereka sebagai sebaik-baik ciptaan.


Saya menyeru kepada semua yang membaca tulisan ini supaya kita bersama-sama menegakkan kembali hukum Allah di atas muka bumi ini dan tidak sesekali menyokong sebarang usaha untuk menentang dan menghapuskan hukum-hukumNya, kerana Allah pasti akan memelihara agamaNya dari sebarang penyelewengan dan kesesatan yang diinginkan oleh orang-orang kafir. Firman Allah s.w.t:


61:8

Maksudnya: "Mereka hendak memadamkan cahaya Allah dengan mulut (ucapan-ucapan) mereka, tetapi Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya meskipun orang-orang kafir membencinya."
(Surah al-Saf: 8) 


Marilah kita sama-sama berdoa supaya agama yang suci ini tetap terus terpelihara dari sebarang unsur-unsur penyelewengan dan penyesatan; samada melalui serangan pemikiran, atau dakyah terang-terangan terhadap umat Islam, dan juga supaya Allah memberi hidayah-Nya kepada mereka yang sentiasa menentang hukum-hukum yang terkandung di dalam agama suci ini. Sesungguhnya setiap perbuatan dan usaha yang dilakukan di dunia ini- samada baik atau buruk- akan dihitung oleh Allah dan dibalas dengan balasan yang setimpal di akhirat kelak. Allah telah berfirman di dalam al-Quran:


5:48

Maksudnya: "Dan Kami telah menurunkan kitab (al-Quran) kepadamu (Muhammad) dengan membawa kebenaran, yang membenarkan kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya dan menjaganya. Maka putuskanlah perkara menurut apa yang diturunkan Allah dan janganlah engkau mengikuti keinginan mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu. Untuk setiap umat di antara kamu, Kami berikan aturan dan jalan yang terang. Kalau Allah menghendaki, nescaya kamu dijadikanNya satu umat (sahaja), tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap kurnia yang telah diberikanNya kepadamu, maka berlumba-lumbalah berbuat kebaikan. Hanya kepada Allah kamu semua kembali, lalu diberitahukanNya kepadamu terhadap apa yang dahulu kamu perselisihkan."
(Surah al-Maidah: 48)



والله أعلم


Wednesday 27 July 2011

...أهلا يا رمضان

بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat datang Ramadhan al-Mubarak. Bulan yang penuh keberkatan. Bulan yang sangat dimuliakan. Mulia kerana rahmat Tuhan yang melimpah-ruah di dalamnya. Semuanya merupakan bukti kasih sayang Allah yang tak terhingga kepada seluruh hambanya. Bukan manusia semata. Haiwan dan tumbuh-tumbuhan juga. Kerana semua itu juga tunduk sujud kepada-Nya.

Ramadhan yang bakal bertandang tidak lama lagi ini hakikatnya merupakan satu hadiah agung kepada semua penghuni dunia. Ya, hadiah agung dari Tuan Punya Dunia- Allah Rabbul Jalil, bukan dari mana-mana manusia agung di dunia ini. 

Bayangkan jika suatu hari sultan menghantar utusannya ke rumah kita, dengan membawa perkhabaran bahawa sultan akan memberikan kita hadiah pada bulan hadapan. Bagaimanakah perasaan kita ketika itu? Bukankah berbunga mekar hati kita dengan kehadiran khabar segembira itu? Pasti hari itu juga sudah tersebar khabar gembira tersebut di seluruh taman perumahan, kampung, atau seluruh kejiranan kita. Segala persiapan untuk menghadap sultan segera dimulakan. Segalanya di ulang semak berkali-kali supaya tidak ada sebarang kekurangan ketika berhadapan dengan sultan kelak. Tak kira apa hadiah yang bakal diberikan oleh sultan, yang penting kita tetap bergembira dan berbesar hati dengan pemberian dan penghormatan yang diberikan itu. Sebabnya? Ia diberikan oleh 'sultan'- manusia yang dianggap mempunyai kedudukan yang tinggi berbanding manusia lainnya. Tentulah kita berasa teramat bangga.

Tapi anugerah Ramadhan yang bakal diberikan kepada kita tidak lama lagi jauh lebih berharga daripada  hadiah yang bakal diberikan oleh sultan itu tadi. Segala peluang pahala dan keampunan yang ditawarkan di sepanjang bulan Ramadhan bukan datang dari manusia, tapi di anugerahkan oleh Yang Maha Mencipta segala-galanya- Allah, Tuhan sekalian alam. Sabda Nabi s.a.w., yang bermaksud:

"Telah datang kepada kamu bulan Ramadhan, bulan yang berkat. Allah Ta'ala telah mewajibkan ke atas kamu puasanya (Ramadhan). Di dalamnya dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup padanya pintu-pintu neraka dan dibelenggu padanya syaitan-syaitan. Di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Sesiapa yang mengharamkan kebaikan malam itu, maka sesungguhnya dia telah diharamkan."
 (Riwayat Imam Ahmad & Imam al- Nasaie)

BULAN AL QURAN



Antara sebab kemuliaan bulan ini ialah penurunan kitab suci yang terakhir, al Quran al Kareem kepada nabi yang terakhir- Muhammad s.a.w berlaku di dalam bulan ini. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

"(Puasa itu pada) bulan Ramadhan yang diturunkan al-Quran di dalamnya sebagai petunjuk bagi manusia dan beberapa keterangan dari petunjuk dan pembeza antara hak dan batil..."
(QS al-Baqarah: 185)
Firman Allah lagi yang bermaksud:
"Sesungguhnya kami menurunkannya (al Quran) pada malam al Qadr"
 (QS al-Qadr: 1)

Sebagaimana yang kita sedia maklum, al Quran merupakan kalamullah yang agung. Pembacanya diberi ganjaran sebanyak 10 pahala bagi setiap huruf yang dibacanya. Dalam bulan Ramadhan yang mulia ini pula, ganjaran bagi setiap amal saleh yang dilakukan oleh setiap mukmin digandakan berlipat kali ganda daripada bulan biasa. Ini merupakan satu galakan untuk membuat amal saleh (targheeb) daripada Allah s.w.t, selain membuktikan rahmatNya yang melangit luas kepada hamba-hambanya.

Oleh itu, menjadi satu kerugian yang amat besar bagi kita sebagai umat Islam, sekiranya bulan Ramadhan yang bakal tiba ini tidak dipenuhi dengan amalan membaca al Quran pada siang dan malam harinya. Tetapi walau bagaimanapun, amalan membaca al Quran tidak wajar dibataskan hanya pada bulan Ramadhan sahaja. Umat Islam perlu menjadikan amalan membaca al Quran sebagai amalan rutin pada setiap hari, kerana al Quran itu diturunkan sebagai 'manual book' bagi kehidupan setiap muslim dan muslimah.

PERISTIWA-PERISTIWA PENTING


1) Badar al-Kubra


Selain penurunan al-Quran, bulan Ramadhan juga telah menjadi saksi pelbagai peristiwa penting dan bersejarah dalam ingatan umat Islam. Antara yang teragung ialah Peperangan Badar al-Kubra atau nama lainnya 'Yaum al-Furqan'- (sebagaimana yang digelar oleh Allah di dalam al-Quran) yang berlaku pada tanggal 17 Ramadhan tahun kedua Hijrah. Peperangan ini, sepertimana yang kita sedia maklum- merupakan peperangan pertama dalam lipatan sejarah umat Islam, dan menyaksikan kemenangan tentera Islam yang pada waktu itu hanya berjumlah 313 orang, mengikut riwayat yang masyhur.

Antara faktor utama kemenangan tentera Islam di dalam Badar al-Kubra ialah bantuan Allah yang menurunkan 3000 tentera dari kalangan malaikat untuk membantu tentera Islam yang berhadapan dengan 1000 orang musyrikin dalam peperangan itu. Allah menggambarkan perasaan tentera muslimin pada waktu itu di dalam firmannya yang bermaksud:

"Ingatlah(wahai Muhamad) ketika engkau berkata kepada orang-orang yang beriman(untuk menguatkan semangat mereka): "Tidakkah cukup bagi kamu, bahawa Allah membantu kamu dengan tiga ribu tentera dari malaikat yang diturunkan?" Bahkan(mencukupi. Dalam pada itu) jika kamu bersabar dan bertaqwa dan mereka(musuh) datang menyerang kamu dengan serta-merta, nescaya Allah membantu kamu dengan lima ribu malaikat yang bertanda masing-masing".   
(QS Ali Imran: 124-125)
Jika diamati dengan teliti, Badar al-Kubra telah banyak meninggalkan pengajaran dan tauladan yang berguna kepada umat Islam keseluruhannya. Antara yang paling berharga ialah kecekalan dan keazaman yang tinggi yang dimiliki oleh tentera muslimin dalam memerangi kaum musyrikin meskipun cuaca pada waktu itu panas terik dan meletihkan. Tetapi bagi mereka, semua kesusahan dan keperitan itu bukan penghalang untuk mereka menegakkan kalimah Allah walau terpaksa gugur syahid untuk mempertahankannya. 

Semangat juang yang tinggi ini wajar menjadi perangsang bagi umat Islam hari ini; bahawa kepenatan dan keletihan yang dirasai sepanjang bulan Ramadhan bukanlah alasan untuk kita bermalas-malasan dalam melaksanakan tugasan harian yang telah diamanahkan kepada kita, samada sebagai seorang pelajar, pekerja, hatta sebagai suri rumah sepenuh masa.  


2) Pembukaan Kota Makkah (Fath Makkah)

Peristiwa ini merupakan satu lagi peristiwa penting yang menghiasi kalendar Ramadhan dalam sejarah Islam yang mana berlaku pada tahun kelapan Hijrah 

Secara umumnya, peristiwa ini telah membuka mata kuasa besar dunia pada waktu itu seperti Rom; bahawa telah muncul satu kuasa baru di Semenanjung Tanah Arab. Fath Makkah ini juga mempunyai banyak persamaan dengan Badar al-Kubra dari sudut 'ibrah(pengajaran) dan penghayatannya dalam konteks suasana umat Islam hari ini.

3) Pembunuhan Sayidina 'Ali bin Abi Talib

Khalifah Islam yang keempat ini, yang juga sepupu Rasulullah s.a.w merangkap menantu baginda, telah melalui zaman yang getir dan penuh pertelingkahan semasa pemerintahannya. Peristiwa pembunuhan beliau merupakan rentetan daripada krisis politik yang berlaku semenjak pemerintahan Sayidina Uthman bin 'Affan lagi, yang mana kemunculan Abdullah bin Saba' menjadi titik mula bagi segala konflik yang berlaku ketika itu.

Setelah beberapa pakatan dan rancangan dibuat, akhirnya Sayidina 'Ali telah dibunuh oleh Abdul Rahman bin Muljam pada tanggal 17 Ramadhan tahun 40 Hijrah. Lebih menyedihkan, beliau dibunuh ketika sedang berjalan menuju ke masjid di Kufah untuk menunaikan solat fardhu Subuh pada hari itu. Peristiwa pembunuhan khalifah Islam yang keempat ini, yang berlaku di dalam bulan Ramadhan, telah mencalar kemuliaan bulan agung umat Islam ini, sekaligus menjadikan ia sering diingati umat Islam ketika Ramadhan bertandang setiap tahun.

4) Ummu al-Mukminin Sayidatina Khadijah binti Khuwailid r.a


Terdapat dua peristiwa yang melibatkan isteri tercinta Rasulullah ini yang berlaku di dalam bulan Ramadhan. Pertama, peristiwa pengislaman beliau yang berlaku pada bulan Ramadhan tahun pertama pengutusan Rasulullah s.a.w. sebagai rasul terakhir di muka bumi ini. Bahkan, Sayiditina Khadijah telah menerima cahaya hidayah Islam sejak turunnya wahyu pertama dari surah al-'Alaq kepada suami beliau melalui perantaraan malaikat Jibril a.s.

Kedua, kewafatan beliau yang amat menyedihkan Rasulullah s.a.w., yang berlaku pada 10 Ramadhan tahun ke-3 sebelum Hijrah atau tahun ke 10 selepas pengutusan Rasulullah s.a.w. Ketika kewafatannya, beliau berumur 65 tahun, dan jenazah beliau diturunkan sendiri oleh baginda Nabi s.a.w ke dalam kuburannya. Lebih menyanyat hati, tahun ini juga memaparkan satu lagi kematian ahli keluarga Nabi, iaitu Abu Talib, bapa saudara yang tidak pernah henti membelanya dari tentangan dan ancaman kaum musyrikin ketika itu. Oleh sebab itu, tahun ini digelar sebagai tahun kesedihan bagi Rasulullah s.a.w.

5) Kewafatan Ummu al-Mukminin Sayiditina 'Aisyah r.a

Beliau merupakan isteri kedua Rasulullah s.a.w. selepas Sayiditina Khadijah binti Khuwailid. Baginda menikahi Sayiditina 'Aisyah ketika beliau berusia 6 atau 7 tahun, namun hanya menggaulinya ketika beliau meningkat usia dewasa.

Sepanjang hayatnya, beliau merupakan seorang wanita yang amat arif tentang agama Islam sehingga menjadi rujukan umat ketika itu dalam pelbagai permasalahan agama. Antara faktor yang mendorong ke arah itu ialah kerana beliau merupakan antara yang paling banyak meriwayatkan hadith Rasulullah s.a.w., terutama yang melibatkan hal-hal kewanitaan dan kehidupan seharian baginda. Ini juga kerana beliau merupakan orang yang sentiasa berdamping dengan baginda Nabi s.a.w. sepanjang kehidupan sehariannya.

Dalam pada itu, Allah telah menurunkan ayat khas mengenai Sayidina 'Aisyah, iaitu ayat 11-15 surah al-Nur, sebagai pembebasan daripada fitnah yang menimpa beliau setelah tersebarnya Hadith al-Ifk yang masyhur dalam sejarah umat Islam.

Beliau akhirnya dijemput ajal ketika di Madinah al-Munawwarah, pada malam Selasa 17 Ramadhan tahun ke 58 Hijrah, ketika berusia 66 tahun. Jenazahnya disemadikan di perkuburan al-Baqi', bersama-sama para syuhada' Badar al-Kubra.

(Sumber: Di Bawah Langit Ramadhan- Riduan Mohamad Nor, Mohd Nazri Chik, Nasrudin Yaacub)

'IBRAH & RAHMAT RAMADHAN

Demikianlah beberapa coretan peristiwa yang mewarnai kalendar Ramadhan umat Islam. Segala peristiwa yang telah berlaku ini meninggalkan pengajaran tersendiri kepada umat Islam hari ini. Ia juga menjadi inspirasi bagi kita dalam menghadapi bulan Ramadhan yang bakal bertandang tidak lama lagi. Semoga kita dapat menghayati roh Ramadhan kali ini dengan melakukan pelbagai amal saleh selain fardhu puasa yang diwajibkan ke atas umat Islam sepanjang siang harinya, dan supaya kita berjaya menjadi 'graduan Ramadhan' yang cemerlang, seterusnya meningkatkan kecemerlangan tersebut dalam bulan-bulan yang seterusnya...


والله أعلم

!...اللهم بارك لنا في شعبان وبلّغنا رمضان