Saturday 21 May 2011

MUDAHNYA BERSEDEKAH...

بسم الله الرحمن الرحيم

Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda; maksudnya:
"Setiap sendi tubuh manusia wajib mengeluarkan sedekah, setiap hari di mana matahari terbit padanya, engkau berlaku adil terhadap dua orang (yang bertelingkah) adalah sedekah, menolong seseorang pada kenderaannya lalu engkau membantunya untuk naik ke atas kenderaannya, atau mengangkat barang-barangnya ke atas- adalah sedekah, ucapan yang baik adalah sedekah, setiap langkah ketika engkau berjalan menuju solat adalah sedekah, dan menghilangkan gangguan daripada jalan adalah sedekah."
                                                                 (Riwayat Imam al-Bukhari no. 2827 dan Imam Muslim no. 1007 dan 1009)
Hadith di atas menunjukkan keluasan rahmat Allah kepada hamba-hamba-Nya yang sentiasa melakukan kebaikan dan kebajikan dalam kehidupan seharian mereka. Skop sedekah yang selalu dipandang sempit oleh sebahagian kita sebenarnya terlalu luas pada pandangan Allah. Sedekah bukan hanya terhad kepada pemberian wang atau harta bernilai kepada si faqir, malah lebih dari itu.
Mungkin tanpa disedari, kita telah berkali-kali bersedekah dalam sehari, walaupun tiada sebarang aset atau modal dikeluarkan. Wah, luasnya rahmat Allah!

AMALAN YANG DIKIRA SEBAGAI SEDEKAH
Berdasarkan hadith ini, dapatlah difahami bahawa terdapat beberapa perbuatan lain yang dikira sebagai sedekah, meskipun ia dipandang remeh oleh kebanyakan manusia. Antara yang dimaksudkan hadith ialah: 
  1. Berlaku adil terhadap dua pihak yang bertelingkah, atau dalam erti kata lain, mendamaikan dua pihak yang bertelagah dalam sesuatu hal.
  2. Membantu seseorang naik ke atas kenderaannya atau membantu menaikkan barang-barangnya ke atas kenderaannya.
  3. Ucapan yang baik.
  4. Langkah menuju ke tempat solat.
  5. Menghilangkan gangguan daripada jalan.
1) Berlaku adil terhadap dua pihak yang bertelagah 

Antara prinsip utama undang-undang Islamiyyah ialah  العدالة  (keadilan). Konsep keadilan menurut kaca mata Islam secara ringkasnya ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Lawan bagi adil pula ialah zalim; iaitu meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Islam sangat menitikberatkan soal keadilan dalam pelaksanaan sesuatu hukuman, hatta apabila pihak yang terlibat dalam proses pendakwaan itu merupakan seseorang yang dibenci oleh orang ramai. Hal ini seperti yang telah diperingatkan oleh Allah s.w.t. melalui firman-Nya yang bermaksud:
 "Wahai orang-orang yang beriman! Jadilah kamu sebagai penegak keadilan kerana Allah, (ketika) menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah kebencian kamu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, (kerana) ia (adil) lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah. Sungguh, Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu lakukan."
(QS al Maidah, 5:8)

Apabila konsep keadilan menjadi keutamaan dalam menjatuhkan sesuatu hukuman, maka akan tertegaklah kebenaran antara dua pihak yang bertelagah tersebut, dan sekaligus dapat menghapuskan perasaan dendam dan benci antara satu sama lain. Inilah yang dimaksudkan sebagai sedekah daripada si hakim yang mengadili kepada kedua-dua pihak yang bertelagah tersebut.

Kaedah pengadilan sebegini bukan hanya wajar dipraktikkan di mahkamah-mahkamah sahaja, bahkan tertakluk juga pada pengadilan kes-kes kecil-kecilan yang melibatkan ahli keluarga, masyarakat setempat, dan juga rakan-rakan sepejabat. Amat malang jika kita memandang remeh dan mengambil sikap acuh tak acuh dalam mengadili sesuatu perbalahan yang hanya melibatkan rakan-rakan terdekat atau ahli keluarga sendiri, kerana setiap apa yang kita putuskan sebagai hukuman bagi mereka, tidak terhenti di dunia semata-mata, bahkan akan disoal kembali di akhirat kelak oleh yang Maha Mengadili.

2) Membantu seseorang pada kenderaannya 

Mungkin kebanyakan kita seringkali 'ditawarkan' dengan perbuatan yang mulia ini, walau tanpa kita sedari akan ganjaran besar yang menanti di sebalik bantuan yang kita hulurkan itu. Contoh yang paling mudah, apabila kita berhadapan dengan situasi perpindahan jiran ke rumah yang baru. Pastinya jumlah barang yang banyak dan perlu dibawa ke rumah barunya itu tidak memungkinkannya untuk melakukan kerja-kerja pemindahan seorang diri. Maka mengapa tidak kita yang membantunya untuk memasukkan barang-barang tersebut ke dalam kenderaannya? Bukankah ini antara sedekah yang disenaraikan oleh baginda nabi di dalam hadis di atas? Mudah sekali sebenarnya untuk bersedekah...

Walau bagaimanapun, bukan semua bantuan yang dihulurkan dikira sebagai sedekah. Al-Quran telah membataskan bantuan yang dimaksudkan dan dibenarkan, iaitu yang disalurkan pada jalan kebaikan dan ketaqwaan, bukan pada jalan kejahatan apatah lagi permusuhan. Hal ini dijelaskan melalui firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

"...dan tolong-menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan..."
(QS al-Maidah,5:2)


Oleh itu, jelas kepada kita bahawa bantuan yang disalurkan bukan pada jalan kebaikan dan tidak mendatangkan sebarang manfaat, sama sekali tidak dibenarkan dan tidak akan dikira sebagai satu sedekah. Perkara ini sangat perlu kita teliti supaya kita tidak mudah menjadikan hubungan kekeluargaan atau persahabatan sebagai satu 'lesen' untuk kita membantu ke arah kemungkaran, dengan alasan kasihan atau 'tak sampai hati', dan sebagainya.
3) Ucapan yang baik

Antara sedekah yang berupa ucapan yang baik adalah seperti:
  • Menjawab salam
  • Mengucapkan 'yarhamukallah' apabila terdengar orang bersin
  • Mengucapkan 'alhamdulillah'
  • Pelbagai bentuk zikir
  • Ucapan yang baik ketika bercakap
  • Jawaban yang baik apabila diminta
  • Memberi maaf kepada orang yang memberi maaf
  • Mendoakan orang mukmin yang lain
  • Pujian yang ikhlas
  • Nasihat yang memberi manfaat
  • Menunjukkan jalan ke arah kebaikan
  • Segala perkataan yang menyenangkan hati si pendengar dan dapat mengeratkan hati
Lafaz hadith ini juga sangat bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud:
"Perkataan yang baik dan pemberian maaf lebih baik daripada sedekah yang diiringi tindakan yang menyakiti. Allah Maha Kaya, Maha Pengampun."
(QS al-Baqarah, 2:263)

Perkataan-perkataan yang baik yang dituturkan seseorang mampu menenangkan jiwa pendengarnya. Si penutur bukan sahaja disenangi oleh yang mendengar, bahkan akan sentiasa didoakan olehnya supaya mendapat keberkatan hidup. Berbeza keadaannya dengan manusia yang sering mengeluarkan kata-kata yang tidak manis didengar, dirinya malah akan diumpat dan dikeji manusia lain lantaran percakapannya yang tidak menyenangkan jiwa si pendengar. Begitulah indahnya Islam memandu kehidupan manusia, sehingga soal perbicaraan yang kecil pun ada nilaiannya di sisi Allah, yang mencipta lisan hamba.

4) Langkah menuju ke tempat solat
Setiap langkah seorang hamba menuju ke tempat solat dicatat pahalanya dan dikira sebagai sedekah untuk dirinya sendiri. Anugerah ini membuktikan betapa besarnya rahmat Allah kepada setiap hamba yang tidak berasa jemu mahupun culas untuk beribadah kepadanya. Allah, dengan keluasan rahmatnya yang tak terhingga, tidak mensia-siakan usaha hamba untuk beribadah kepada-Nya, hatta setiap langkah untuk menuju ke tempat ibadah tersebut dicatat sebagai suatu sedekah.


5) Menghilangkan gangguan daripada jalan

Perbuatan ini adalah satu perbuatan yang sangat jelas manfaat dan kebaikannya. Gangguan yang dimaksudkan dalam lafaz hadith ialah setiap benda atau objek yang menghalang laluan orang ramai pada jalan tersebut, misalnya batu besar, ranting kayu, objek-objek tajam, dan sebagainya yang menyebabkan kesukaran bagi orang yang menggunakan jalan tersebut. 

Maka, menghilangkan gangguan-gangguan tersebut dengan cara mengalihkannya ke tempat lain atau membuangnya merupakan satu sedekah kepada setiap pengguna jalan tersebut. Dengan sebab perbuatan baik itu, pengguna jalan yang lain akan terhindar dari bahaya yang mungkin akan terhasil jika gangguan-gangguan itu tidak dihilangkan.

Walau bagaimanapun, setiap perbuatan itu bergantung kepada niat pelakunya. Jika ikhlas niatnya, maka terbitlah pahala darinya. Tetapi jika 'ada udang di sebalik batu' maka perbuatannya dibalas setimpal dengan niatnya. Ini dijelaskan oleh junjungan agung, nabi Muhammad s.a.w. di dalam hadithnya yang bermaksud:

"Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsah, Umar bin al-Khattab r.a., beliau mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Sesungguhnya diterima amal perbuatan itu bergantung kepada niatnya, dan sesungguhnya bagi setiap orang akan mendapat apa yang diniatkannya. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, dia akan sampai kepada Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang berhijrah menuju dunia yang akan diperolehinya atau menuju wanita yang hendak dinikahinya, dia akan mendapatkan apa yang diniatkannya."
(Riwayat Imam al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasa'i, Ibn Majah dan Ahmad)

(Sumber: Kitab Hadith 40 Imam Nawawi, disusun semula oleh Dr. Hj. Zahazan Mohamed dan Hj. Muhammad Zakaria)


Sekadar ini sahaja renungan buat diri saya dan para pembaca untuk kali ini. Semoga segala apa yang dititipkan di sini mampu dijadikan sebagai perangsang dalam kita menambah bekalan amalan saleh untuk bertemu dengan Kekasih yang amat dicintai kelak. Ameen..
Semoga bertemu kembali dengan catatan yang lebih menarik dan bermanfaat, insya Allah...

والله أعلم

No comments:

Post a Comment