بسم الله الرحمن الرحيم
Sengaja saya jadikan Surah al Fatihah sebagai entri pertama blog ini. Meneladani susunan surah di dalam al Quran, semoga usaha dakwah melalui ruang yang kecil ini mendapat keberkatan hasil daripada bacaan sab'ul mathani di awal perjalanannya, insya Allah...
NAMA-NAMA LAIN
Umum mengetahui, surah al Fatihah yang berulang kali dibaca umat Islam setiap hari di dalam solat 5 waktu ini mengandungi banyak kelebihan dan fadhilat tersendiri. Antaranya, ia merupakan surah yang istimewa yang diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w., yang tidak pernah diturunkan kepada nabi-nabi sebelumnya (HR Muslim). Ia juga mempunyai beberapa nama. Antara namanya yang masyhur ialah 'al-Fatihah' yang bermaksud pembukaan kerana ia mendahului surah-surah lain dalam susunan surah-surah al-Quran dan juga surah pertama yang dibaca dalam solat. (Tafsir al-Tabari, Tafsir al-Mawardi & Tafsir surah al-Fatihah)
Selain itu, surah ini juga digelar sebagai 'Ummul Kitab' yang bermaksud induk al-Quran kerana kandungannya menghimpunkan maqasid al-Quran iaitu pujian kepada Allah yang menegaskan rububiyyah-Nya, menjelaskan kaedah beribadah kepada-Nya dan memohon hidayah-Nya, kisah-kisah umat terdahulu, gambaran kedudukan hamba-hamba-Nya yang bahagia dan menderita, dan sebagainya. Menjadi kebiasaan bagi orang-orang Arab menamakan sesuatu perkara yang terhimpun di dalamnya perkara-perkara lain sebagai 'ummun' yang bermakna ibu atau induk. Oleh sebab itu, surah al-Fatihah menduduki tempat sebagai ibu kepada surah-surah lain. Sebagai contoh lain, Makkah dipanggil Ummul Qurra' kerana semua bandar lain bergantung kepadanya. (Tafsir al-Qayyim, Tafsir surah al-Fatihah, Rawai' al-Bayan: Bab al-Fatihah)
Di samping itu, surah ini juga digelar oleh Allah sebagai 'al-sab'ul mathani' (QS al-Hijr, 15:87) yang bermaksud tujuh yang berulang, kerana mengandungi 7 ayat dan dibaca secara berulang-ulang dalam solat. (Tafsir al-Samarqandi, Tafsir surah al-Fatihah, Lisan al-Arab, lihat al-Mathani). Al-Imam al-Qurtubi di dalam kitab tafsirnya, al-Jami' li Ahkam al-Quran telah menyenaraikan 12 nama bagi surah ini, antaranya al-Syifa' (penyembuh), al-Wafiah (yang menyempurnakan), al-Kafiah (yang mencukupkan), al-Asas(asas), al-Hamd (pujian) dan lain-lain. Beliau mengambil nama-nama itu secara tauqifi daripada Nabi s.a.w. atau melalui ijtihad para sahabat. Manakala Syeikh Mahmud al-Alusi pula menyebut di dalam kitab tafsirnya, Ruh al-Ma'ani- bahawa surah ini memiliki lebih dari 20 nama.
INTISARI AYAT
Secara keseluruhannya, surah yang mulia ini mengandungi 3 elemen utama yang wajib diaplikasikan seorang hamba dalam munajatnya kepada Tuhannya. 3 elemen yang dimaksudkan itu ialah:
- Puji-pujian yang tidak terhingga kepada Allah, sebagaimana yang terkandung dalam ayat 1 hingga 4.
- Pengiktirafan daripada hamba kepada Tuhannya sebagai semata-mata Tuhan yang disembah dan pengakuan kelemahan seorang hamba yang mengharapkan bantuan Tuhannya semata-mata dalam setiap urusan kehidupannya. Ini dapat difahami dengan jelas melalui penghayatan yang mendalam terhadap ayat 5 dalam surah ini.
- Doa yang dipanjatkan kepada Allah yang diharapkan bantuan dan petunjuk-Nya, yang nyata didapati pada ayat 6 dan 7 surah ini.
"Sebahagian untuk Ku dan sebahagian yang lainnya untuk hamba-hambaKu, dan bagi hambaKu apa yang dia minta". (Hadith sahih riwayat Imam Muslim)
PERANAN HIDAYAH
Antara doa utama yang wajar dipanjatkan seorang hamba di dalam surah ini ialah doa meminta diberikan hidayah yang dapat memandu hamba ke jalan yang lurus, jalan yang diredhai Allah. Hidayah, yang berasal daripada perkataan hada (هدى) secara asasnya membawa maksud petunjuk atau bimbingan. Dalam konteks ayat ini, Syeikh Mutawalli al-Sya'rawiy membahagikan hidayah kepada 2 bahagian;
- Hidayah al-irsyad wa al-bayan - هداية الإرشاد والبيان
- Hidayah al-tawfeeq - هداية التوفيق
Ayat ke-6 dalam surah ini menjelaskan lagi doa minta diberi petunjuk itu, iaitu petunjuk ke arah sirat al-mustaqeem, iaitu 'jalan yang lurus'. Para ulama' tafsir memberikan tafsiran yang pelbagai tentang maksud sebenar 'jalan yang lurus' yang diungkapkan di dalam ayat ini. Walau bagaimanapun, secara ringkasnya mereka semua mentafsirkannya sebagai agama Islam, yang dipandu oleh Allah dan Rasul-Nya, dan tidak ada sebarang kesesatan padanya. Inilah yang dijanjikan oleh baginda Nabi s.a.w. di dalam hadithnya yang bermaksud:
"Telah aku tinggalkan kepada kamu 2 perkara, kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi mana kamu berpegang dengan kedua-duanya; kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya."
KHASIAT & KEISTIMEWAAN
Thabit dalam hadith sahih riwayat Imam al-Bukhari, bahawa surah ini mampu menjadi penawar bagi bisa sengatan. Seorang sahabat telah diminta untuk mengubati seorang ketua kampung yang disengat binatang berbisa. Lalu sahabat tersebut telah membaca surah al-Fatihah dengan mengumpulkan sedikit ludahan. Kemudian ditiupkan dengan disertai sedikit ludahan pada bahagian badan yang sakit itu. Dengan izin Allah, orang itu sembuh daripada penyakitnya.
Malah, turut dinyatakan dalam Fath al-Bari bahawa semua jenis penyakit boleh disembuhkan dengan membaca surah ini, insya Allah.
(Dipetik & diubahsuai dari kolum tafsir majalah Solusi isu 7 dan buku 101 Doa Para Nabi & Rasul dalam al-Quran, tulisan Dr. Hj. Zahazan Mohamed)
Semoga kita sama-sama beriltizam mengamalkan surah ini sebagai amalan harian yang dapat membawa kita lebih dekat dengan Allah yang Maha Penyayang dan Maha Mengasihani hamba-hambanya.
Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment